Qurratuain

"bertemu tidak jemu..berpisah tidak gelisah.."

Wednesday, February 4, 2009

Abdullah Muaz anak ku........

2 minggu ini rasanye tak keruan dengan gelagat anak-anak. Pantang dicuit mesti rasa nak marah. Sekali sekala terfikir jugak kenapa yer tiba-tiba sikap aku kepada anak-anak segarang itu.

Aliyah dan Muaz sudah 2 minggu dijangkiti selsema. Rimas tengok anak-anak meleleh aje hingusan nyer. Aku rasa mungkin kerana itulah gelagat mereka berubah. Aku bekalkan mereka berdua dengan ubat Homeopati untuk hidung tersumbat (Terima kasih Hj. Khan Homeopati Hentian Kajang - Orang tua ini adalah doktor (H) kesayangan kami sekeluarga).

Rumah kami ada sebuah meja makan dengan 2 buah kerusi dan sebuah kerusi makan kanak-kanak. Disinilah tempat aku dan umi selalu berbual dan berbincang hal rumah tangga. Umi adalah seorang isteri yang kuat semangat dan sering memberi motivasi buat suaminya yang saban hari tertanya-tanya 'Bila kita akan berubah ye Umi?'. 'Kenapa abang belum berjaya ye Umi?' (Saya akan sambung episod ini dalam posting yang lain)

Sambung cerita tentang anak-anak......

Soalan cepu emas..... Kalau aku dan umi dah duduk di kerusi makan dan Abdullah Muaz duduk di kerusi makan kanak-kanaknya, dimana Aliyah Husna duduk ketika makan?

Jawapannya tentulah atas riba abi atau uminya. Memang betul. Setiap kali tiba waktu makan, Aliyah akan cakap "Abi.... aliyah makan dengan abi ye. Aliyah nak duduk abi. Aliyah kongsi dengan abi ye". Aku tiada pilihan, akur dengan permintaan Aliyah.

Tapi hari ini dah berubah. Muaz dah tak mahu makan atas kerusi mahal yang aku beli. Gelagat nyer sekarang kalau kak long duduk atas riba abi, dia jugak mesti diatas riba abi.... Muaz... Muaz... Tapi anak-anak ni hebatkan. Sekalipun dimarah, tetap cekal hatinya nakkan dikasihi oleh orang tuanya. Kalau merajuk pun boleh dilupakan semalaman.

Selepas maghrib malam tadi, aku duduk bersila dihadapan pintu masuk rumah abah. Turut bersama disitu emak yang amat aku sanjungi. Ayah kepada 2 orang anak mengadu perangan anak-anaknya kepada ibu kepada 10 orang anak.

Mudah aje jawapannya. "Sabarlah sikit masa-masa macam ni". Aku tiada persoalan ataupun jawapan kepada kata-kata ibu. Aku terima ia sebagai teguran ibu kepada anaknya.

Sudah pulang dari menunaikan solat Isyak di Surau, aku kembali ke rumah emak menjemput anak-anak yang ditinggalkan sebentar. Rupanya mereka sedang menonton VCD kekejaman Israel di bumi Gaza. Aku juga menumpang sekaki.

Saat itu aku pasrah dan termenung sejenak. Kenapa aku perlu marahkan anak-anak yang masih kecil sedangkan anak-anak seusia aliyah dan muaz menangis kering air mata menagih kasih ayah dan ibu yang tidak akan mereka temui lagi di dunia ini.

Kenapa aku perlu marahkan anak-anak yang masih kecil sedangkan anak-anak seusia aliyah dan muaz menangis kering air mata menahan kesakitan akibat kecederaan yang bukan kerana kesalahan mereka.

Kenapa aku perlu marahkan anak-anak yang masih kecil sedangkan anak-anak seusia aliyah dan muaz menangis kering air mata menahan kelaparan yang tidak mampu diungkap kata kerana kebencian di hati Sang Zionis.

Kenapa aku susah sangat nak ungkapkan syukur kerana dikurniakan anak yang merindui kasih seorang ayah.

Kenapa aku susah sangat nak ucapkan syukur dikurniakan anak-anak yang sering tertunggu-tunggu kepulangan ayahnya.

Kenapa aku susah sangat nak ucapkan syukur dikurniakan anak-anak yang sering menemani ayahnya ke Rumah Allah.

Mungkin diri ini jauh dari Yang Maha Esa. Ya Allah aku pohon keampunan-Mu. Berkatilah hidup kami sekeluarga dan suburkan hidup kami dengan keimanan dan kecintaan kepada-Mu tanpa berbelah bagi. Ameen.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home