Qurratuain

"bertemu tidak jemu..berpisah tidak gelisah.."

Wednesday, June 27, 2007

Kehebatan anak ada pada kemuliaan orang tuanya

Para pengkaji dan cendekiawan pendidikan awal kanak-kanak Islam sering menegaskan bahawa permulaan kepada sebuah Baitul Muslim adalah pada saat memilih pasangan hidup. Seorang wanita Muslimah perlu memilih seorang lelaki sebagai calon suami yang memahami tuntutan Baitul Muslim. Begitulah sebaliknya seorang lelaki muslim bertanggungjawab untuk memilih wanita sebagai calon isterinya yang juga memahami tututan Baitul Muslim.

Sejarah telah membuktikan bahawa tokoh-tokoh agong yang hebat dan dihormati pada hari ini dan masa lampau tidak mungkin terpisah daripada persoalan bagaimana kedua orang tuanya mendidik prinsip-prinsip asas kehidupan serta mencorakkan gaya hidup anak-anak mereka. Begitu juga halnya apabila melihat seorang manusia yang runtuh akhlak dan kehormatan dirinya tidak lari dari pengabaian orang tuanya dalam menentukan arah tuju kehidupan anak mereka apabila membesar kelak.

Suatu hari ketika termenung memikirkan masa depan dianjung Bustanul 'Arifin, saya melihat seorang lelaki tua sedang menggali tanah menanam anak pokok pisang di persekitaran Bustanul 'Arifin. Ini bukan kali pertama saya melihat orang tua ini. Selalu juga saya melihatnya mengangkat kayu, mengemas kawasan, menebas rumput, menanam pokok dan apa sahaja difikirkan mampu untuk dilakukan demi sebuah perjuangan yang suci. Rupanya orang tua ini sudah menjangkau usia 80 tahun. Masyaallah hati saya terdetik. Alangkah mulianya orang tua ini.

Kemuliaanya tidak hanya setakat itu. Pada saat awal menubuhkan Bustanul 'Arifin, orang tua ini telah menginfaqkan sebidang tanah untuk dijual supaya wang hasil jualannya kelak sepenuhnya digunakan buat membangunkan Bustanul 'Arifin. Apa orang tua ini tersangat kaya hartanya? Jauh sekali kalau dikatakan dia seorang yang kaya kerana kenderaannya hanyalah sebuah motosikal buruk buat teman ke kebun dan mendampingi para alim ulama'.

Tertanya dihati saya berapakah bilangan anak si tua ini. Dua belas orang jawab mudir pondok. Tambahnya lagi semuanya alhamdulillah berjaya ke menara gading. Langsung fikiran saya terlintas apa sebenarnya rahsia orang tua yang mulia ini?

Rupanya situa ini memuliakan kitabullah sebagai zikir hariannya sehinggakan kalau belum satu juzuk al-quran dibaca selepas isyak, selagi itu punggungnya tidak akan diangkat kemana-mana.

Benarlah pesanan aku buat diri yang lemah ini dan teman-teman sekalian, Kehebatan anak ada pada kemuliaan orang tuanya.

Wednesday, June 20, 2007

Aku mesti menulis



Hari ini aku tekad untuk menjadi Blogger. Kaku juga tangan memikirkan apa yang ingin ku coretkan dalam laman blog ini. Apakah halatuju yang ingin ku pimpin. Tetapi sudah terngiang-ngiang untuk aku merakam pengalaman diri sehari-hari dalam hal mendidik anak menjadi Qurratu'ain Permata Hati. Semoga laman ini menjadi medan temu dan bicara mereka yang cintakan generasi baru yang bakal memimpin zaman mereka.

" Wahai Tuhan Kami, jadikanlah isteri dan anak-anak kami Qurratu'ain (penyejuk mata yang memandang) dan berikan kami orang-orang yang bertaqwa sebagai pemimpin kami" Amin ya Rabbal 'Alamin